Papan Tulis Elektronik
Dahulu papan tulis dipanggil papan batu, papan kapur atau papan hitam kerana papan ini ditulis menggunakan pelbagai alat tulis. Papan batu ditulis menggunakan kapur batu, papan kapur atau papan hitam ditulis menggunakan kapur putih atau kapur warna. Tetapi sekarang papan dengan fungsi yang sama ditulis menggunakan pen sinar letrik atau sinar laser. Walaupun teknologi telah banyak berubah, papan tulis tetap digunakan kerana ia mempunyai beberapa kelebihan. Ia boleh digunakan dengan mudah dan lebih bersifat mesra pengguna. Guru boleh terus menunjukkan idea yang diperkatakannya atau diperkatakan oleh pelajarnya serta mencungkil pemikiran pelajar dalam bilik darjah dan menonjolkannya secara spontan sama ada dalam bentuk grafik atau perkataan di papan tulis untuk tatapan semua, sama ada dalam tempoh yang lama atau sebentar. Harga dan kos menjaganya tidak begitu mahal,ia mudah diperolehi dan disediakan dalam bilik darjah, guru tidak perlu latihan yang khusus dan terlalu teknikal untuk menggunakannya tetapi tidak begitu bagi papan tulis elektronik terkini di pasaran. Guru dan pelajar juga boleh menampal lain-lain bahan untuk ditayangkan kepada pelajar yang lain, malah ia boleh dilekatkan dengan magnet bagi memudahkan bahan dipaparkan kepada kelas.
Bahan Grafik, Gambar, dan Carta
Bahan grafik, gambar dan carta banyak digunakan untuk membantu guru menjelaskan suatu konsep yang sukar untuk dijelaskan dalam bentuk kata-kata. Konsep- konsep yang sukar tersebut lebih mudah dijelaskan dengan menggunakan gambar, grafik atau carta. Terdapat pelbagai bahan grafik dan carta yang berteknologi terkini seperti meng- gunakan grafik dan animasi komputer yang digunakan dalam P & P.
Alat Pandang Dengar Elektronik
Terdapat pelbagai alat pandang dengar elektronik yang boleh digunakan dalam P & P. Antara alat pandang dengar yang biasa digunakan ialah perakam kaset, compact disc, video compact disc, digital compact disc, projektor filem, video kamera, projektor LCD, projektor episkop dan MP3 yang dapat digunakan dengan lebih efektif.
Komputer dan Internet
Komputer adalah teknologi elektronik yang mempunyai banyak keistimewaan sama ada dalam kehidupan harian atau pun dalam bidang pendidikan. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, komputer boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan teknik. Guru yang berbakat dapat menggunakan komputer secara kreatif dan kritis untuk membantunya mencapai objektif pembelajaran (Giesert & Futrell, 1990).